Powered By Blogger

Monday 24 March 2014

Hanya sekadar kata-kata?

Bismillahirrahmanirrahim,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Alhamdulillah,syukur padaNya kerana telah memberikan hambaNya ini merasai nikmat-nikmatNya sekali lagi.Alhamdulillah,syukur padaNya jua kerana memberikan aku peluang untuk terus berjuang di muka bumi ini yang nyata sedang meniti hari-hari terakhirnya.Alhamdulillah,syukur padaNya kerana Dia lah aku bisa hidup.Kerana Dia lah aku bisa bernafas.Dan kerana Dia lah aku bisa menadah tangan memohon keampunan atas segala khilaf yang telah aku lakukan selama ini.

Lima hari telah pun berlalu.Bualan mengenai keputusan SPM 2013 masih lagi hangat diperkatakan orang.Slip keputusan masih lagi terasa 'kepanasannya' seperti pisang gorang panas.Dan sudah tentu sekali masih ada yang sedang tersenyum mengenangkan kejayaan yang mereka peroleh.Pabila diajukan soalan kepadanya,lantas sahaja dia menjawab, "Alhamdulillah,saya dapat straight A".Penuh rasa gembira dan puas  tika diri menjawab persoalan itu.Namun,adakah luahan kata-kata itu benar-benar melambangkan hati kita sebagai bukti kesyukuran kita padaNya?Atau hanya sekadar lafaz di mulut sahaja? Renungkanlah wahai hati-hati yang luhur.

Aku masih teringat saat aku sedang meniti hari-hari peperiksaan SPM itu.Sungguh,ianya satu dugaan dan cabaran yang kuat bagi ku.Bukan sekadar mengharapkan ketahanan fizikal sahaja,malah mental yang kuat serta iman dan taqwa kepadaNya haruslah turut seiring bersama dalam perjuangan ini.Dan,Alhamdulillah sesungguhnya Allah itu Maha Adil.Atas berkat usaha ku,guru-guru,serta mak dan ayah,Dia berikan aku kejayaan itu.Satu perasaan yang tidak boleh diungkap oleh kata-kata tatkala melihatkan riak wajah kedua orang tua itu pabila melihatkan keputusan anaknya ini.Dalam suasana riuh rendah di dewan itu,aku,Mak dan Ayah saling berpeluk tubuh.Tangisan gembira mereka berdua masih lagi terngiang-ngiang pada corong telingaku.Saat itu aku amat gembira kerana akhirnya aku dapat melihat mereka tersenyum.Sesungguhnya hanya dengan kejayaan sahaja mampu menggembirakan mereka.Pernah sekali Mak mengirimkan kad ucapan hari lahir buat ku.Ketika itu aku belajar di MRSM Serting di tingkatan 3.Dalam kad itu,Mak tuliskan,

                       "Tiada apa yang Mak dan Ayah harapkan dari anak-anak mak melainkan kejayaan anak-anak sendiri sudah cukup menggembirakan kami"

Aku pegang kata-kata itu sebagai kayu pembakar buat membakar semangat ku dalam berjuang untuk membela nasib mereka.Kami bukan orang berada.Kami datang dari keluarga yang biasa.Namun,bukan penghalang buat aku untuk menjadi seorang insan hebat di mata Mak dan Ayah.Selagi mereka masih berpijak di bumi nyata ini.Selagi itu lah kudrat ku tidak akan mengalah walau sedikit pun untuk berusaha membuat mereka tersenyum.Dan nyata tanggal 20 Mac menjadi saksi buat kami sekeluarga.Akhirnya,lukisan yang telah sekian lama kusam dek kerana kehilangan serinya kini mula terlakar padanya suatu lakaran yang indah sekali.Meski ketiadaan Akak membuatkan sedikit cacat pada lukisan itu,namun aku yakin suatu hari nanti lukisan itu akan sempurna jua.

Tika hati ini melonjak gembira.Tika senyuman di bibir tidak henti-henti.Timbul satu anak soalan dalam benak hati yang leka itu;

                           "Ya Allah,adakah ini benar-benar kejayaan yang Engkau kirim buatku? Atau ianya ujian buatku? Ya Allah,aku berharap Kau bimbinglah aku ke jalan yang seharusnya ku lalui..."

Sedikit peringatan buat mu wahai Encik Mimpi.Aku berharap agar kejayaan yang engkau peroleh ini akan mendekat lagi dirimu denganNya,bukan semakin menjauhkan kau dariNya.Sentiasalah berhati-hati dalam menikmati kemanisan duniawi ini.Takut-takut apa yang sedang engkau peroleh itu,itulah yang akan memimpinmu ke lembah kehinaan.

kata-kata dari seorang idola :
                    "Capailah kejayaan setinggi-tinggi bintang di langit,Redahkanlah dirimu serendah-rendah mutiara di lautan" (Sahirah Akilah)


"Demi Mu aku berjuang"

No comments:

Post a Comment