Powered By Blogger

Monday 24 February 2014

Squad Solat


Bismillahirrahmanirrahim,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Squad Solat
                          Keempat-empat matanya ditumpukan sepenuhnya kepada pemain JDT yang menyarung jersi bernombor 18,Mahali Jasuli.Degup jantung bertambah kencang.Menaruh  sepenuh harapan kepada pemain itu agar dapat meruntuhkan pintu gawang gol pihak lawan.
                         “Tolonglah gol….,tolonglah gol….gol lah….” Bisik hatinya penuh harapan.Seperti cacing kepanasan.Tidak senang duduk dibuatnya.Gaya duduknya kejap dialih ke kanan,kejap dialih ke kiri.Risau.
                         “Ya itu dia Safiq Rahim kepada Mahali ! Mahali pass kepada pemain jersi nombor 19,Figueroa! Figueroa mengawal bola melepasi Stewert dan….dan…Itu dia!Alamak!Nasib tidak menyebelahi JDT.Cubaan hanya mengenai tiang gol.Namun satu percubaan yang cukup cantik,cukup berani dari Figueroa!” Penuh semangat Ku Farish seakan-akan meniru gaya seorang pengulas bola sepak di kaca televisyen.Dia sememangnya seorang yang cukup arif dan petah dalam berbicara.Periang dan agak bising membuatkan dia amat disenangi oleh orang sekelilingnya.
                          Melopong.Hanya mampu menongkat daku.Hampa dan kecewa pabila pemain yang diminatinya itu gagal menghasilkan gol.”Haih,kalah lah jawabnya JDT kali ni “ Seakan-akan sudah dapat mengagak keputusan perlawanan antara team JDT & Pahang.Dua mata tambahannya ditanggalkan untuk mengelap segala habuk yang melekat pada kanta membuatkan pandangannya tidak jelas.Itulah dia Tengku Mirzad Nafhan,peminat tega JDT yang tidak pernah ketinggalan untuk menghadiri setiap perlawanan team kesukaannya itu.
                         Bunyi wisel ditiup pengadil.Menandakan bermulanya perlawanan masa kedua antara team JDT & Pahang.Pahang yang telah menundukkan JDT dengan 1-0 pada masa pertama tadi mula mengorak langkah untuk mencari gol seterusnya.Terkebil-kebil matanya tertumpu ke tengah padang.Langsung tidak diendahkan hal sekelilingnya.Waima kapal terbang Airbus A380 terhempas di sebelah stadium pun tidak akan diendahkannya.Penuh khusyuk dan tawaduk dia melihat perlawanan itu.
                       Ku Farish kembali bersuara “…dari Mahali terus kepada Figueroa!Figueroa melepasi Stewert sekali lagi.....Figueroa mencuba di situ!Dan…Goaaallll!!!!”
                      Penyokong-penyokong JDT yang sudah lama menantikan goal terus melonjak kegirangan.”Yesss!!!!Goal!!!!” Jerit Tengku Mirzad Nafhan sambil memeluk Ku Farish yang duduk di sebelahnya bukti kegembiraan.Bendera JDT dijulang ke udara.Berkibar penuh megah.Saat itulah harapan penyokong-penyokong JDT yang tenggelam pada masa pertama kini seakan bersinar kembali.Jelas gol hasil daripada Luciano Figueroa telah memberikan sinar baharu buat penyokong JDT untuk terus mengibarkan bendera di Stadium Tengku Syah Iskandar ini.
                    Masa semakin suntuk.Dengan kedudukan 1-1 membuatkan kedua-dua pasukan tidak mahu mengalah.Masing-masing berjuang sepenuh hati untuk meraih kemenangan dalam perlawanan ini.”Go JDT,aku tahu kau boleh” bisik hatinya penuh harapan.Tiba-tiba,tumpuannya terganggu akan sesuatu objek.”Eh,apa tu? “ Betul-betul di tengah padang kelihatan seorang lelaki berjubah putih sedang sujud.Pelik.Kaca matanya dilap bagi menjelaskan lagi pandangan ,kemudian dipakainya semula.Iris mata dikecilkan untuk lihat lebih jelas.Kini hatinya berdebar-debar.Lelaki yang dilihatnya itu tadi tiba-tiba hilang dari pandangannya.Dia terduduk diam,langsung tidak mempedulikan perlawanan yang sedang berlangsung.Malam itu fikiran Nafhan penuh runsing memikirkan apa yang dilihatnya itu.
                         “Apa yang aku lihat tadi?Siapa lelaki tu?Macam mana dia boleh tiba-tiba ada kat padang?Agak orang lain tak nampak ke? “ penuh persoalan di minda membuatkan malam itu dia tidak dapat tidur lena.
******
                         Matahari memanah .Terasa terikan makhluk gergasi itu menyimbah pada wajahnya. 
                         “Hello!Wei,Putra kau dah gerak belum ni?lama tau aku dengan Farish tunggu ni.Apa kau fikir kitorang ni tunggul ke kat sini ha!” berang Nafhan kerana terpaksa menunggu kawannya itu.
                         “Alaa,rilex lah bro!Ayah aku suruh aku solat asar dulu baru dia kasik aku keluar.Ni aku baru nak gerak.Kau tunggu je lah,sat lagi aku sampai ya..”
                       “Hah,ya lah.Macam budak kecik lah kau ni.Nak keluar rumah pun kena mintak kebenaran bapak.Cepat sikit!Kalau tak aku sedekah je lah tiket kau ni,dapat jugak pahala aku”
                        Begitulah rutin mingguan tiga sahabat ini,Nafhan,Farish dan Putra.Setiap minggu pasti stadium milik bapa Nafhan ini menjadi destinasi mereka bertiga.Tepat jam lima petang sudah terpacak di perkarangan luar stadium.Maklumlah ingin merebut tempat duduk hadapan mestilah datang awal.Habis straight dua waktu solat ditinggalnya.Asar kemana,Marghrib pun entah kemana.Isyak pula ikut mood.Kalau terasa nak solat mereka solat,tapi kalau game habis 9:15,lepas tu lepak kat restoran, balik rumah tengah malam, ke katil lah perginya.
                    Teguran mak ayah?Sudah.
                    Pukul? Pelik sungguhlah jika remaja berumur 21 tahun seperti mereka ini masih lagi dipukul.Kadang-kadang Tengku Nafhan pernah diperli oleh ibu bapanya,
                  “Nafhan….,tak kan lah nak Ummi pukul pakai rotan baru nak solat.Buat malu je.”
                  “Pukul je budak ni Ummi,nanti kan kita yang kena tangkap polis sebab pukul anak macam kes baru-baru ni.Biar dia serik tak dapat jumpa kita ni.Baru dia tahu!” usikan dari bapanya itu jelas mencerminkan bahawa lelaki bergelar Tengku Syah Iskandar ini seorang yang cukup pandai melawak.Tidak hairanlah jika si Ummi tertambat hatinya kepada si jejaka ini.
                 Namun segala kata-kata itu ibarat pisau mainan.Langsung tidak memberikan apa-apa kesan pada hatinya yang sungguh kebal dipenuhi perisai kejahilan.Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berhibur menikmati halwa duniawi.Sungguh pada mulanya semua perkara adalah harus.Nak menyanyi.Islam benarkan.Nak pergi konsert.Islam benarkan.Hatta nak pergi menonton perlawanan bola sepak di stadium juga Islam benarkan.Tetapi,manusia ini sungguh kejam.Difitnahnya Islam ini satu agama yang kuno,mengongkong dan zalim.Ditohmahnya bahawa sesiapa yang masuk islam tidak boleh menyanyi,tidak boleh pergi konsert,tidak boleh pergi stadium.Itu,ini,bermacam-macam alasan diberi.Padahal semua larangan itu adalah disebabkan diri kita sendiri yang telah menyalahgunakan kebebasan yang Islam beri.Ya! pergi stadium adalah haram,JIKA! Ianya melalaikan sehingga solat ditinggalkan, tiada batas antara lelaki dan perempuan dan yang membawa kepada amalan syirik.Namun,mata-mata itu,hati-hati itu,semuanya telahpun dikaburi dan diracuni oleh syaitan laknatullah.Termasuklah tiga sahabat ini……
                    Lalu,sang matahari kian menunduk diri memberi laluan buat sang bulan menyinari diri.Sedang sang durjana melompat tinggi tanda kegirangan
                  “Ha!Ha!Ha!,zaman sekarang ni mudah sungguh kerja kita ya.Modal kita hanya sebiji bola sahaja.Tapi,haaa…tengoklah betapa banyaknya income yang kita dapat,Ha!Ha!Ha!”
                 “Ya,betul.Cuba kau tengok,satu stadium ni tak solat marghrib.Ha!Ha!Ha! tak sabar rasanya nak bagi report kat bos hari ni.” Penuh rasa bangga kedua-dua ekor makhluk itu berkata-kata.
                  Sesak.Sempit.Penuh.Bingit.Itulah suasana yang dapat digambarkan tatkala mereka melangkah masuk ke dalam stadium Tengku Syah Iskandar.Lelaki perempuan sama berhimpit.Ada yang turut memimpinkan tangan pasangannya yang bukan muhrim sebagai tanda dirinya itu gentleman.Dalam ribuan mangsa-mangsa kelalaian itu,ainun Nafhan tertangkapkan sesuatu.Dia cukup kenal lelaki itu.
                “Eh,itu bukan ke lelaki yang sujud kat tengah padang hari tu ?.” Kata-kata dari hatinya itu hanya tersekat pada kerongkong.
               Dirinya seakan-akan ditarik.Kakinya terus sahaja dipaksa melangkah ke arah lelaki berjubah putih itu.Lalu ditegur,”Aaaa,saudara,tumpang tanya sekejap boleh?” sapa Nafhan segan,sambil tangan kanan dihulur tanda meminta salam.
              Salam Nafhan disambut lembut.Wajahnya penuh cahaya serta suci jika dipandang.Terasa dingin tangan apabila salamnya tadi disambut lelaki itu.Ditambah pula dengan manis senyuman cukup menenangkan hati Nafhan.Ketika itu jugalah sesuatu yang pelik mula dirasai dalam diri Nafhan.Kakinya kaku,tangannya digenggam erat,matanya pula semakin layu.Pandangannya terus berubah gelap dan sunyi,Seakan-akan dirinya telah dibawa ke suatu alam yang berbeza.

*******
                
                  Alam kubur.
                  Bukan.Dia masih lagi berada di dunia fana’ ini,Cuma….
                “Wahai saudara ku,lekas bangun dari lena mu itu”
                Suara itu menembusi kegelapan tadi.Menarik dia dari kelamnya lena.Perlahan-lahan Nafhan membuka mata.Cahaya masuk,dan wajah suci lelaki itu menjadi persembahan pertama.Lelaki itu sedang memandangnya dengan prihatin.
               “Mari,” suara lembut itu keluar dari mulut yang harum dihidu si hidung.Sambil tangannya dihulur kepada Nafhan.
              “Eh,pergi mana?”
              Kekal dengan senyuman,tanpa sebarang jawaban.Dipimpinnya Nafhan baik-baik masuk ke halaman padang.Tika itu,matanya membulat besar,mulutnya melopong serta kakinya terdiam kaku untuk melangkah.Terpesona dan terkejut melihat suatu pemandangan yang tidak pernah dilihat sepanjang hidupnya.
                Padang yang kehijauan kini dipenuhi dengan warna putih.Ada yang sedang sujud,ada yang sedang bertafakur dan ada juga yang sedang berdiri tegak.Seakan-akan menantikan sesuatu.
              “Haaa,sekarang saudara pergilah ambil wudhuk dahulu.Sebentar lagi,kita akan tunaikan solat berjemaah bersama-sama.” Telunjuk jari tepat disasarkan ke arah batang paip yang terletak berhampiran tempat mereka berdiri.
              “Allahu akbar,Allahu akbar!.....” kedengaran iqamat memecah sunyi.Tanda solat akan dimulakan.Lelaki-lelaki itu  mula membina saf yang lurus.Penuh padang itu diisi warna putih dari jubah-jubah mereka.Nafhan turut memasuki saf-saf itu.Betul-betul di sebelah lelaki yang bersamanya tadi.Lalu,solat lah mereka beralaskan rumput berbumbungkan langit di situ.
              Leher ditoleh ke kanan.Salam pertama.Tolek ke kiri pula.Salam terakhir dan…
              “Husshhh…..!!!” kedengaran suatu bunyi halus menggetarkan gegendang telinga.
              Ibarat kain-kain berterbangan ditiup angin.Lelaki-lelaki itu lantas dengan lajunya naik ke udara.Nafhan yang menyaksikan situasi itu terus diam terjeda.Bagaikan patung yang bernyawa.Tidak mampu berbuat apa-apa.Terkejut.

*******
               Seminggu berlalu begitu sahaja.Sejak kejadian di stadium tempoh hari,dia menjadi seorang yang pendiam dan lebih suka bersendirian.Nafhan ditemui pengsan oleh kawannya setelah perlawanan pada malam itu tamat.Pabila ditanya apa yang berlaku,dia tidak menjawab.Sehingga pada suatu petang di sebuah café Putra Palace.Ketika tiga sekawan ini sedang duduk asyik bersembang.
               “Wey,geng!” suara Nafhan memotong perbualan.”aku ada satu plan ‘baik’ ni.Korang nak join tak?”
               “Wah! Its seems like a great plan je Nafhan.Apa dia plan ‘baik’ kau tu?” balas Putra tidak sabar mengetahui plan ‘baik’ Nafhan.Farish juga menantikan jawapan itu.
                “Aku plan nak tukar stadium bapak aku jadi ‘masjid’ lah,amacam ?”
               “ HAHAHAAAHAHAAA!!!!” pecah suasana sunyi café Putra Palace dengan gelakan Putra dan Farish.Berdekah-dekah tawa mereka.Hingga memegang perut tanda senak terlalu kuat tertawa.
               “Banyaklah plan ‘baik’ kau tu.Aku rasa ni semua sebab lelaki jubah putih yang kau jumpa tu kan.Sampai mereng dia buat kawan aku ni.” Farish berbicara penuh perli.
               “Nafhan,Nafhan,lebih baik kau pergi jumpa pakar psykologi bapak kau.Aku rasa kau ni dah kena pukau “ Putra turut menambah perencah pada perlian Farish tadi.Secukup rasa.Cukup menusuk pada hati.
                Tetapi tidak pada hati Nafhan.Hati yang dahulunya kebal dengan kejahilan kini sedang digantikan dengan perisai kebenaran,IMAN.Dia langsung tidak terkesan akan kata-kata itu.Malah,dia penuh yakin dan percaya bahawa suatu hari nanti plan ‘baik’nya itu akan menjadi kenyataan.Jelas senyuman di bibirnya.Tanda tidak kisah.
               “Pak cik yakin suatu hari nanti anak akan berjaya dengan plan kamu itu.Percayalah! “ Satu suara tiba-tiba memecah suasana mereka membuatkan masing-masing menoleh ke arah suara itu.Kelihatan seorang lelaki tua,berjanggut,berkot,berseluar hitam, dan berkasut hitam berkilat.Yang cerah pada lelaki ini hanyalah kulitnya dan baju kemeja putih yang dilindungi kot. Rupanya perbualan mereka telah didengari oleh lelaki tua itu.Dia bingkas bangun dari duduknya lalu pergi mendekati Nafhan,Putra dan Farish.
               “Nak….jika anak-anak berusaha bersungguh-sungguh,berdoa dengan penuh yakin disertakan niat yang ikhlas kerana Allah,Percayalah Allah akan sentiasa bersama kita selagi hamba-hambaNya itu kekal pada jalan yang benar,iaitu jalan menegakkan agama Allah!” Pendek.Padat.Penuh makna disebalik kata-kata itu.Cukup menyentuh ketiga-tiga hati itu.
                 Malam itu,Nafhan tekad penuh semangat.Kata-kata pak cik itu bermain-main di fikirannya membuatkan dia tergerak ingin melakukan sesuatu.Buku nota serta sebatang pen diambil.Tangannya mula menulis.Helaian kertas yang mulanya kosong kini dipenuhi dengan bermacam-macam strategi dan perancangan.
               Strategi? Perancangan?
               YA! Strategi dan perancangan untuk menjayakan misinya.Misi ME’MASJID’KAN STADIUM TENGKU SYAH ISKANDAR! Pelik,tapi sangat bermakna dan penting buat Nafhan.

**********
Strategi Pertama : Edarkan flyer
                            Memandangkan dia salah seorang pelajar di Taylor’s University maka,pelajar-pelajar disitu lah menjadi sasaran utamanya.Selama seminggu dia berusaha mengedar-edarkan keratan-keratan flyer itu.Penuh gigih.Titisan peluh yang jatuh kerana asyik berulang-alik dari satu tempat ke tempat lain tidak terkira.Namun bukan penghalang bagi diri pemuda ini.Baginya inilah namanya dakwah.Keyakinan yang teguh terhadap Allah bak teguhnya Burj Dubai membuatkan dia tetap dengan jalan ini.Jalan ke  arah menegakkan agama Allah!
                           “Assalamu’alaikum saudara,nama saya Nafhan.Saya berharap agar saudara dapat turut sama menyertai persatuan saya ini.Misi utama persatuan ini adalah untuk memastikan penyokong-penyokong yang datang ke Stadium Tengku Syah Iskandar menunaikan solat terlebih dahulu sebelum menyaksikan perlawanan bola sepak.” Penuh mesra dan lembut bicaranya terhadap seorang pelajar lelaki sambil memberikan dia sehelai flyer.Namun,
                           “Argh!!!Merapu lah persatuan kau ni.Orang nak tengok bola tapi diajaknya solat.Gila apa!!!” Seperti biasa.Itulah jawapan yang sentiasa dia terima dari mulut-mulut mereka.Gila.
                           Tanpa disedari.Setitis air jernih mula mengalir di pipi halus itu.Lalu jatuh lagi setitis.Kemudian ia terus mengalir.Nafhan menangis sedih.Bukan kerana hinaan lelaki itu.Bukan kerana tiada siapa yang ingin menyertai persatuan itu.Dan bukan juga kerana dilihatnya banyak flyernya dibuang di merata tempat.Tetapi kerana mengenangkan kembali perjuangan KekasihNya dalam menyebarkan Islam 1400 tahun dahulu.
                         “Muhammad,kuat sungguh dirimu menjalani semua ini.Tabah sungguh hatimu menerima segala tohmahan.Teguh sungguh imanmu menerima segala dugaan dan cabaran.Sedang aku,baru diuji dengan kata-kata itu sudah membuatkan diriku berasa sedih sangat.Wahai Muhammad,sungguh selama ini aku lupa.Aku lupa akan segalanya yang telah engkau perjuangkan untuk aku.Engkau sanggup dimaki!Dihina!Diseksa! semata-mata hendak memberikan cahaya Islam buat aku.Aku lupa semua itu Ya Muhammad!!Selama ini aku telah mengabaikan semua perjuanganmu.Aku tinggalkan solat,aku tinggalkan al-Quran malah sunnah-sunnahmu langsung aku tak buat.Kini,aku dapat merasainya.Maafkan aku,Muhammad.Maafkan aku!!” Terduduk diam.Dia merintih seorang.Ingin sahaja dia menjeritkan kata-kata hatinya itu.Namun dibatalkan serta-merta.Sungguh lebat hujan di dalam jiwanya.Tanda kecewa akan dirinya yang dahulu.
                        “Nafhan…” satu suara muncul dari arah belakang memanggil namanya.Automatik dirinya berpusing ke belakang.
                      “Eh,Putra,Farish! Ada apa tiba-tiba cari aku ni?Rindu ke?” Kesedihan tadi terus dilupakan dengan usikan itu.Walaupun jelas kelihatan air matanya belum kering lagi di pipinya.Lalu,dilapnya air mata itu oleh satu tangan.Penuh rasa kasih dan sayang.Tanda sayang seorang sahabat.
                       “Nafhan,kami tahu apa yang sedang engkau lakukan.Kami tahu apa yang engkau sedang hadapi ini.Dan kerana itulah kami di sini untuk turut serta dalam perjuangan suci mu ini.” Bicara Farish.
                       “Ya,kita kan sahabat dunia akhirat.BFF,best friends forever!Susah senang kita hadapi bersama!” Sambung Putra memberikan semangat buat sahabatnya itu.
                         Hari itu.Bermulah kisah perjuangan tiga sahabat ini.Bermacam-macam usaha dan cara mereka lakukan bagi mengajak para pelajar menyertai persatuan ini.Dan bermacam-macam dugaan dan cabaran jugalah mereka terima.Namun,dengan kuat mereka tempuhi ia bersama.Lebih banyak flyer ditampal disekitar Student Life Centre,tempat lazim bagi pelajar-pelajar Taylor menghabiskan waktu seperti belajar,lepak-lepak.Tidak lupa di Commercial Building.Masa senggang mereka banyak dihabiskan di Starbuck,Old Town White Coffee dan Subway.Bukan untuk bersantap,tetapi untuk berdakwah menerangkan keindahan Islam disamping menyebarkan flyer-flyer.

Strategi kedua : Tubuhkan Persatuan
                            Dia memandang jari-jemarinya.Kuku merah jambu cerah diperhatikan.Ibu jari bermain sebentar dengan empat temannya yang lain.Tapak kasut dihentak-hentak berkali-kali dari bawah meja bulat itu.Termenung seorang.Sedikit bosan.Ruang matanya diisi dengan kumpulan-kumpulan meja dan kerusi yang tersusun kemas menunggu pelanggan datang.Kelihatan dua tiga orang pelanggan  lengkap berkot hitam sedang menikmati sarapan pagi di situ.
                            Bertempat di Café Garden Blossom Putra Palace.Pagi ini merupakan hari penubuhan persatuan itu.Awal sungguh Nafhan tiba di café itu tanda semangatnya.Sekian lama dia menanti,akhirnya pasangan matanya itu tertarik akan dua orang gadis di pintu masuk Putra Palace yang kelihatan sedang tertinjau-tinjau mencari sesuatu.Seorang bertudung bulat berwarna coklat gelap manakala yang sebelahnya bertudung putih serta berpurdah hitam.
                         “ Fathin!Ezzaty! kat sini” kotak suaranya ditinggikan sambil melambai-lambai ke arah dua gadis itu.Fathin Nadhzirah Lee dan Nur Ezzaty Bte. Tan Sri Azammuddin.Itulah dia bakal-bakal srikandi yang akan bersama-sama melaksanakan suatu misi penting.Misi membawa kembali cahaya Islam yang sebenar.Misi membawa penduduk-penduduk Islam Bandar Sri Alam kembali ke jalanNya.Juga misi buat Putra dan Farish yang baru sahaja tiba.
                          “Assalammu’alaikum,sahabat sekalian,tujuan kita berkumpul pada pagi ini adalah untuk menubuhkan sebuah gerakan.Gerakan yang berpegang teguh pada pegangan Ahlul sunnah.Misi utama kita adalah untuk me’masjid’kan Stadium Tengku Syah Iskandar.Maksudnya disini adalah untuk mengajak dan memastikan mereka-mereka yang berada di stadium itu untuk menunaikan solat terlebih dahulu sebelum perlawanan dimulakan.Saya yakin dan percaya sepanjang misi ini dijalankan,pasti pelbagai cabaran yang akan kita tempuhi.Dan kerana itulah ia memerlukan srikandi-srikandi yang teguh imannya,cekal hatinya,penuh kepercayaan terhadap Allah dan tentu sekali kuat semangat jihadnya! Jadi,adakah anda semua sudah bersedia untuk bergelar Squad Solat? “ Penuh semangat dan iltizam jelas dilihat pada wajah pemuda itu.
                         Wajah-wajah itu mula menundukkan diri.Berfikir sejenak akan kata-kata itu.Kata-kata yang tidak boleh dinilai menggunakan akal fikiran.Tetapi perlu dengan iman.Hanya insan –insan tertentu sahaja yang sanggup menghadapi semua itu.Lama juga Nafhan berdiri seorang menantikan tindak balas mereka.Sehinggalah satu suara muncul membuatkan wajah-wajah tunduk tadi kembali diangkat.
                       “Demi agama Allah,demi menyambung semula perjuangan Muhammad dan demi umat Islam,aku rela menghadapi semua itu” seorang pemuda.Anak kepada Insp. Ku Shahri,Ketua polis bahagian Bandar Sri Alam.Semangat dan keberanian bapanya itu turut tertanam dalam dirinya.Itulah dia Ku Farish Syakirin.
                        “Aku juga!” Putra turut menyokong Farish.
                        “Saya sanggup “ Suara lembut Ezzaty jelas memperlihatkan semangatnya itu.
                       “Saya juga Nafhan” sambung Fathin membuatkan wajah suram Nafhan tadi terus  bertukar ceria.Senyuman mula terukir.Tanda gembira.Melihat sahabat-sahabatnya yang sanggup berjuang bersamanya memberikan dia satu harapan.Harapan yang semakin menyinar.Harapan untuk membebaskan umat Islam dari dikaburkan halwa duniawi ini.
                          Pagi itu.Hampir dua jam mereka berbincang.Bermula dari perlantikan sehinggalah kepada urusan dokumen-dokumen penting serta surat-surat yang diperlukan untuk dihantar kepada Majlis Agama Negeri,Ibu Pejabat Polis Bandar Sri Alam dan juga pihak pengurusan Stadium Tengku Syah Iskandar.Semuanya itu adalah sebagai langkah persediaan untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku sepanjang misi ini dijalankan.Untuk menjayakan sesuatu yang luar biasa,usaha yang luar biasa juga perlu dilakukan.
                        Tamat sahaja azan zohor dilaungkan,maka tamatlah perbicangan mereka pada hari itu.Sebelum bersurai,Nafhan menyampaikan sesuatu sebagai peringatan bersama;
                       “Allah itu,Maha Berkuasa atas segala-galanya.Dialah yang satu-satunya mampu mengubah hidup hambaNya.Maka,mustahil bukan untuk mendapatkan bantuanNya,sekiranya kita tidak mendekatiNya.”
                       “Allah ada berfirman : Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka: sesungguhnya Aku (Allah)sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu),dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.Surah Al-Baqarah ayat 186.Ingat ayat ini ya ,wahai teman-temanku.Allah itu Maha Dekat.Dia juga Maha Memperkenakan doa.Tetapi,manusia itu sendiri pertamanya perlu taat kepadaNya,selain perlu berusaha mengubah diri sendiri.”

**********
Strategi ketiga : Berniaga
                              “ Jersi JDT! Jersi JDT! Haa,ni original punya ya! Kami jual sehelai RM 30 sahaja,mari!mari!mari! “ Kedengaran suara lantang  di sekitar perkarangan luar Stadium Tengku Syah Iskandar ini.Penuh semangat Ku Farish mempromosi gerai jualan mereka.Selaku AJK Komunikasi inilah antara tugasan yang perlu dilaksanakannya.Selain itu,Farish juga ditugaskan untuk menyediakan design flyer,banner dan juga logo Squad Solat memandangkan hanya dia sahaja yang khatam bab-bab tersebut.Tetapi,semua kerja itu bukan dilakukannya seorang diri.Dia turut dibantu oleh ahli S.S yang lain jika mereka mempunyai masa terluang.Pendek kata walaupun masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri tetapi mereka saling membantu antara satu sama lain.
                            Hari ini merupakan perlawanan kedua bagi team JDT selepas bertarung di gelanggang musuh di Kedah.Kini giliran Harimau Selatan pula bermain di kandang sendiri.Sudah tentunya perlawanan malam pasti amat dinanti-nantikan oleh peminat setia JDT seperti Nafhan.Kerana perlawanan tempoh hari, team JDT telah mendahului Kedah dengan agregad 2-1.Dan malam ini adalah penentuan buat JDT untuk menunjukkan belangnya.Namun,jika JDT kalah pada malam ini mungkin penyokong-penyokong JDT selepas ini tidak akan seramai seperti hari ini.Kerana itulah perlawanan pada mala mini amat penting buat JDT.Mereka perlu menang.
                          Kesempatan dan peluang keemasan inilah digunakan ahli-ahli S.S untuk mula melaksanakan misi mereka.Pelbagai perancangan dan strategi telah dirancang oleh AJK-AJK Pengurusan,Putra dan Amanda.
                           Amanda? Ya. Atau nama panjangnya Tengku Mirsha Amanda
                           Adik kandung kepada Tengku Mirzad Nafhan.
                          Bagaimana? Sejak bila?
                          Sesungguhnya Allah lah sebaik-baik Perancang.Semuanya terjadi secara tiba-tiba pada satu malam.Semasa Nafhan sedang sibuk menyiapkan kertas-kertas kerja.Hampir satu hari dia terperuk di dalam biliknya menyiapkan tugasan itu.Surat kebenaran tapak niaga,surat kebenaran lesen untuk berniaga,surat pengesahan persatuan dan segalanya perlu disiapkan sebelum hari ini.Selalunya hari-hari minggu seperti ini dirinya pasti akan hilang sejak dari awal pagi lagi.Pergi mall,lepak di Putra Palace atau pergi bermain bola di padang.Namun,semuanya keseronokan ditinggalkan semata-mata amanah ini.Dan kelakuan anehnya ini telah pun diperhatikan oleh Amanda.
                        “Abang,hari ni satu hari abang tak keluar bilik.Kenapa?” Soal Amanda dengan nada suara yang  sedikit perlahan.Takut-takut mengganggu abangnya itu yang sedang sibuk bermain dengan helain-helain kertas di atas meja.
                        “Oh,aku tengah settlekan urusan persatuan yang aku tubuhkan ni.Macam-macam kena buat.Lusa ni pulak kitorang nak buat jualan kat stadium Papa.Tu yang tak keluar satu hari ni.” Jari-jemarinya terus bernari-nari bersama pen dakwat hitam di atas helain kertas itu.Langsung tidak terganggu akan pertanyaan Amanda itu.
                        “Persatuan? Persatuan apa wei kau tubuh kan ni? Tak habak kat cek pun.”
                        “Squad Solat! Hang nak join ke? Lagipun kami sedang dalam misi menambahkan lagi bilangan ahli ni.Lebih ramai lebih afdhal.”
                       “Wah! Macam best je! Nak join,nak join! Tapi apa squad ni buat?”
                       “Ha!Squad Solat ini ditubuhkan adalah untuk mengajak serta memastikan semua umat Islam terutamanya di Bandar Sri Alam ini menunaikan solat lima waktu.Tapi misi utama kami buat masa sekarang ini adalah untuk memastikan penyokong-penyokong yang hadir di Stadium Tengku Syah Iskandar agar menunaikan solat terlebih dahulu sebelum perlawanan bermula.Itulah tugas ahli S.S.”
                     “Style la lu bro! Wa tabik sama lu.Nak join? Adik pun nak berdakwah juga.Ianya tanggungjawab adik juga sebagai umat Islam.Dan adalah menjadi suatu kewajipan bagi adik sebagai mukmin untuk memikul amanah ini.” Itulah dia Amanda.Seorang gadis yang kasar dan ligat jika dilihat dari luaran.Tetapi dalaman rohaninya penuh dengan kelembutan dan kesopanan seorang muslimah sejati.
                     Pada malam itulah,secara rasminya nama Tengku Mirsha Amanda tercatat pada carta organisasi S.S dan telah dilantik sebagai AJK Pengurusan untuk turut membantu Putra Aqasha merangka segala perancangan.
                   Dan salah satu perancangan mereka adalah dengan berniaga. Mereka melihat berniaga di stadium itu adalah cara terbaik untuk mendekati sasaran utama misi ini.Soal modal, tidak menjadi satu masalah bagi mereka yang rata-ratanya datang dari keluarga yang senang dan berada.Terutamanya pasangan dua beradik ini,Nafhan dan Amanda yang merupakan keluarga kerabat diraja kerajaan Johor.
                  Hari itu,bermula lah strategi ketiga ini.Tepat jam dua petang setelah selesai menunaikan solat Zohor maka perniagaan mereka pun dibuka.Bermacam-macam produk yang dijual.Dari jersi,T-shirt,,kasut sehinggalah kepada keychain JDT turut dijual.Semuanya dijual pada harga yang berpatutan. Disamping itulah,mereka turut mengedarkan flyer kepada pelanggan-pelanggan yang datang untuk turut menyertai misi Squad Solat.Kerana bukanlah keuntungan menjadi matlamat utama mereka menjalankan perniagaan ini.Tetapi ada matlamat yang lebih penting lagi dari semua itu yang mereka kejar-kejarkan.
                            Setiap kali pelanggan datang ke gerai itu,mereka dilayan dengan baik sekali.Diberinya segelas air.Jika kanak-kanak diberinya gula-gula,anak patung dan juga permainan.Jika ada orang tua diberinya kerusi.Semuanya itu dilakukan bagi menarik lebih ramai pelanggan.Dan jelas sekali ianya berkesan.Hari demi hari gerai mereka tidak putus-putus didatangi oleh pelanggan.Sungguh ramai.Sehingga membuatkan segelintir peniaga yang turut berniaga di situ mula menjeling-jelingkan mata.Tanda iri hati.Itulah manusia dengan penyakit hati mereka.Dengki.Pantang melihat orang lain senang.Ada sahaja tohmahan yang dilemparkan.
                              Sejak hari itu,pelbagai fitnah telah dihambatkan pada gerai bernama S.S ini.Ada yang mengatakan mereka menggunakan ilmu hitam,dan pelbagai lagi kata-kata hinaan menghujani gerai itu.Namun,siapa yang makan cili dialah yang merasa pedasnya.Mereka langsung tidak terkesan akan kata-kata itu.Kerana mereka yakin bahawa apa yang mereka lakukan ini adalah betul di sisi undang-undang dan halal pada syarak.
                          “Biarkan sahaja mereka itu.Buat apa kita perlu takut.Sesungguhnya kita ini sedang berada pada jalan yang benar.Lagipun inilah antara cabaran yang kita perlu terima sebagaimana yang telah aku cakap dahulu.Kita perlu kuat.Kerana akan ada cobaan yang lebih dahsyat dari ini perlu kita tempuhi.” Kata-kata itu keluar dari mulut Nafhan memberikan dorongan kepada sahabat-sahabatnya yang  lain agar terus tetap bertahan.

Strategi keempat : Public Solat
                                “Okay,Putra.This is the time!” setelah memandang jam tangannya,Nafhan terus memberi isyarat kepada Putra yang telah pun bersedia memegang mikrofon.
                               Tepat jam 4:35 petang,maka ianya berkumandang.Buat kali pertama dalam sejarah Stadium Tengku Syah Iskandar azan dilaungkan di sini.Azan yang dilaungkan hanya di atas sebuah kerusi plastik dan menggunakan pembesar suara.Cukup membuatkan suasana yang tadinya begitu gamit dengan bunyi radio dan gendang terus terhenti.Masing-masing terpinga-pinga antara satu sama lain.Tanda kehairanan.
                               “Dah kenapa budak-budak tu.Tiba-tiba azan.Buang tebiat ke apa.” Corong telinganya tertangkap suara itu.Kelihatan seorang lelaki dalam lingkungan  30-an yang juga berniaga bersebelahan dengan gerai mereka.Dia tertawa seorang.
                              Selesai azan.Mata-mata yang terpinga-pinga tadi masih lagi memandang kearah enam orang pemuda tersebut.Seperti menyaksikan sesuatu perkara yang luar biasa sekali.Lalu dibentangkan sehelai sejadah,dan dua bentang tikar.Satu di hadapan,dan satu lagi di belakang.Kemudian mereka mula membina saf untuk menunaikan solat secara berjemaah di hadapan khalayak orang ramai.Tanpa rasa malu.Tanpa rasa ragu-ragu.Hati-hati itu penuh khusyuk dan tunduk pada yang Satu.
                             “Allahuakbar!” Takbirratul ihram.Suara Nafhan mengetuai jemaah.
                             Dan saat itulah bermulanya cobaan dari Ilahi buat ke enam-enam srikandi ini.Bukan untuk menggagalkan usaha mereka.Tetapi untuk mendidik mereka supaya lebih kuat.
                             “Woi budak! Korang buat tebiat ke apa! Tiba-tiba nak sembahyang kat sini.Pergi masjid lah!” Satu suara mula menjerit lantang.
                                   “Entah! Gila! Mengganggu ketenteraman awam betul ! Orang nak berniaga pun tak senang ! “ Satu suara lagi menyambung.
                             Ketika itulah,seorang remaja lelaki bertindak membaling botol plastik yang ada pada tangannya ke arah jemaah itu.
                   “Dush!!” Terkena kepala Nafhan.Wajah yang tadinya tenang dan penuh khusyuk kini berubah.Matanya terpejam-pejam,dahinya berkerut menahan kesakitan di kepalanya yang mula menampakkan tanda merah.Bengkak.
                  Balingan itu turut disambung yang lain.Ada yang membaling sisa makanan,ada yang mencurahkan air ke arah mereka.Dan ada yang sanggup menarik tikar yang terbentang itu.Dengan harapan agar mereka tidak dapat bersujud.Biarpun pedih dahi-dahi itu menahan kepanasan tar jalan.Namun,mereka tetap meneruskan solat.
                 Ketika itu,kelihatan linangan air-air jernih mula membasahi pipi.Tidak dapat menahan kesedihan.Saat itu,ke enam-enam remaja ini dapat merasa bagaimana sakitnya Rasullullah dibaling,dicaci,dimaki penduduk Taif.Sehingga darahnya mengalir ke buku lali.Rasullullah cedera teruk ketika itu.Dan kerana itulah mereka tetap kuat meneruskan solat.Mereka yakin bahawa Allah sentiasa bersama mereka.
                 “Assalammu’alaikum warahmatullah!” salam terakhir.
                Setelah itu,tiba-tiba mereka ditarik oleh beberapa orang pegawai keselamatan yang bertugas.Mereka dihalau.
               “Baik korang semua pergi dari sini!Aku tak nak tengok muka korang berenam lagi lepas ni kalau tak…”
               “Kalau tak apa!” Tiba-tiba datang satu tekikan dari arah belakang membuatkan semua yang berada di situ terpandang.Seorang lelaki tua. ,berkot,berseluar hitam, dan berkasut hitam berkilat.
               “Kalau tak apa! Apa yang engkau akan buat pada mereka ini! Jika engkau berani khabarkan pada aku! Cepat! Apa yang engkau hendak katakan tadi! HA! “ Matanya menusuk tajam ke arah pegawai keselamatan tadi.Jelas kelihatan riak mukanya yang sedang bengis.Kemerah-merahan.Tanda marah.
               “S,s,…s,saya tak kan buat apa-apa pada mereka ini.saya, janji “ jawab pegawai itu terkial-kial.
               “Dengar sini sekalian! Jika ada sesiapa yang berani mengapa-apakan mereka selepas ini.Hatta mencaci mereka dibelakang mereka sekalipun! Maka, berwaspada lah.Kecelakaan menanti kamu ! INGAT! “ Suaranya penuh lantang memberikan peringatan.Seakan-akan tidak menggambarkan dirinya yang sudah mencapai lingkungan 50-an.
              Pak cik café? Dia ke? Nafhan mula mengecam muka lelaki tua itu yang sedang membuka langkahnya pergi dari situ.
              “Pak cik! Tunggu! “ Nafhan cuba mengejarnya.Namun lelaki tua itu terus hilang dari pandangannya.Muka Nafhan sedikit kecewa kerana gagal berjumpa dengan lelaki itu untuk mengucapkan terima kasih.

************
                                  Suasana hari ini damai.Tenang.Padang rumput yang luas,bersama kewujudan beberapa pokok hijau yang merimbun indah menyempurnakan lagi pemandangan pada tingkap pejabatnya.Ketika itu,kelihatan di udara dua pasang burung terbang pulang ke sarang mereka,yang terdapat pada sebatang pokok.Bunyi kicauan pasangan burung itu,membuatkan seorang lelaki yang sedang bermain-main dengan sebatang pennya mengangkat wajahnya.
                                  Dia melihat meja kerjanya yang dipenuhi dengan fail tugasan yang bertimbun.Kebelakangan ini kerjanya bertambah.Pelbagai projek harus diselesaikan dengan segera.Namun,dirinya pasti dan penuh yakin semua masalah ini pasti akan selesai juga akhirnya.Kerana dia punya ‘pembantu’ yang sentiasa bersamanya susah dan senang.Ujian dan dugaan selama bertahun-tahun dia tempuhi untuk menubuhkan syarikat yang kian mencipta nama ini,membuatkan dirinya semakin mendekati  Dia.Semakin dia cuba untuk mendekatiNya,semakin pelbagai ujian diterimanya.Dan itulah yang menjadikan dirinya sekarang ini.Kuat.Gigih.Penuh semangat serta keyakinan.Walau sebesar mana sekalipun masalah yang datang, kepada Dia jua lah dia memohon pertolongan.
                                 15 tahun telah berlalu.15 tahun yang cukup diisi oleh pelbagai cerita suka dan duka.Enam orang ahli S.S yang dahulu kini telah menjadi rakan kongsi di sebuah syarikat yang terkemuka di Malaysia dan sedang mencipta namanya di peringkat dunia.Syarikat ini pada asalnya hanyalah sebuah persatuan yang kecil sahaja.Diberi nama Squad Solat kerana misinya untuk mengajak umat Islam menunaikan solat telah berubah kepada Hero Squad.Satu nama yang cukup dikenali ramai.Syarikat ini bukan sahaja menjalankan perniagaan membina stadium,malah juga telah menjadi pioneer kepada satu sistem baharu.Sistem 3S (Solat.Selamat.Sedekah).Sistem ini telah mendapat sokongan penuh oleh kerajaan,Jabatan Agama Islam Malaysia(JAKIM) serta orang ramai kerana ciri-ciri yang dititiberatkan.
                               S yang pertama adalah solat.Syarikat ini telah menggubal satu undang-undang dimana semua penyokong beragama Islam yang datang di stadium-stadium syarikat ini diwajibkan untuk menunaikan solat terlebih dahulu sebelum perlawanan dimulakan.Perlawanan hanya akan dimulakan setelah solat isya’ berjemaah ditunaikan di stadium itu.Pelbagai kemudahan telah disediakan oleh syarikat ini seperti ruang wudhuk berasingan lelaki dan perempuan serta pentas bergerak yang cukup besar dan luas untuk dijadikan ruang solat.S yang kedua adalah selamat.Lazimnya,hanya pegawai keselamatan sahaja yang ditugaskan.Tetapi kini keselamatan di stadium semakin terjamin apabila syarikat ini telah melengkapkan ia dengan pelbagai teknologi sekuriti yang canggih.Ada CCTV di setiap sudut,ada alat pengimbas atau scanner di setiap pintu masuk bagi mengesan terdapatnya barang larangan dibawa masuk.Tempat duduk penyokong juga diasingkan serta diawasi oleh pegawai-pegawai keselamatan.Jika terdapat sesuatu yang tidak diingini berlaku,satu dinding lut sinar akan menutupi ruang antara penyokong.Ianya dilengkapi dengan pendingin hawa.Cukup memberikan keselesaan.Dan kerana itulah ramai yang bersetuju dengan sistem ini.S yang ketiga pula ialah sedekah.Syarikat ini juga menyediakan perkhidmatan layanan yang amat istimewa buat penyokong-penyokong yang hadir.Mereka diberikan minuman dan makanan secara percuma setelah perlawanan tamat.
                               “Tok,tok,tok,Dato’ boleh saya masuk?” satu suara datang dari belakang pintu masuk pejabatnya.
                                   “Masuk”
                                  “Dato’, ada seseorang ingin berjumpa dengan Dato’ di lobi.Katanya dia bapa saudara Dato’.Bila saya tanya namanya dia hanya tersenyum sahaja.”
                                 Ayah saudara? Setahu aku ayah seorang sahaja anak lelaki atuk.Lantas dia bangun dari kerusi dan mula melangkah keluar.Kerut-kerut pada dahinya jelas kelihatan.Bukti kehairanan.
                                Setapak demi setapak dia menuruni tangga itu,lalu menuju ke ruang lobi syarikat.Pandangan horizonnya ditumpukan ke ruang itu.Kelihatan seorang lelaki tua sedang duduk melawan arah dari tempat dirinya berdiri.
                               “Assalammu’alaikum,pak cik” tegurnya lembut tanda menghormati tetamu itu
                               Mendengarkan suara itu terus sahaja dia menoleh menunjukkan wajah sambil bangun berdiri.Tangan dihulur.Senyuman terukir lebar pada wajahnya yang cerah.Walaupun sudah berumur,namun cahaya ketenangan jelas terpapar pada wajah lelaki tua itu.
                               “Wa’alaikummussalam,apa khabar Dato’ Tengku Mirzad Nafhan,masih ingat lagi pada pak cik?
                              “Subhanallah,pak cik ‘café’ dulu tu ya.Sudah tentu saya ingat” Jawabnya sambil buat-buat tersenyum.Perasaan pelik mula menyelubungi hatinya.Sudah 15 tahun dia tidak berjumpa dengan lelaki tua ini.Dahulu,sewaktu pertama kali dia bertemu dengan lelaki itu di Putra Palace, lelaki itu sudah cukup tua.Bak kata orang sudah sampai masa kubur kata mari,rumah kata pergi.Tetapi apa yang menghairankannya, lelaki tua ini masih ada lagi setelah 15 tahun.Sudah tu riak wajahnya,warna rambutnya,suaranya dan gaya dia berdiri langsung tiada beza dengan dirinya yang 15 tahun dahulu.Sama sahaja.
                             Lama juga dia berbual-bual bersama pak cik itu di lobi.Setelah hampir satu jam,pak cik itu meminta kebenaran untuk pulang.Katanya dia perlu ‘terbang’ ke London malam ini kerana urusan perniagaan.Nafhan juga mengiringinya ke pintu keluar.Semakin lama, tubuh lelaki tua itu semakin jauh dari pandangan Nafhan.Tetapi dia tetap melihat ke mana lelaki tua itu pergi.Sehingga pada satu ketika,betul-betul di tepi jalan raya yang sibuk itu.Lelaki tua itu berhenti dan…
                           “Hushh”.Dia ‘Terbang’ naik ke langit.Hilang begitu sahaja dari pandangan Nafhan.Dan ketika itu jugalah Nafhan tersenyum seorang.Matanya langsung tidak terbeliak melihat kejadian itu.Malah hatinya cukup gembira dan tenang sehingga mampu membuatnya tersenyum.Akhirnya,persoalan selama 15 tahun itu terjawab juga.Kini,dia sedar siapa lelaki itu.Yang dahulunya pernah memberikan semangat untuknya terus berjuang.Yang dahulunya pernah membantunya saat dia dan sahabatnya dalam kesusahan.Dialah utusan dari ‘pembantu’nya.Sungguh selama ini,sepanjang perjuangannya membawa kembali cahaya Islam telah mendapat pertolongan dariNya.Pertolongan yang amat bermakna sehinggakan dirinya tidak sedar itulah pertolongan.Sesungguhnya Allah itu sentiasa ada bersama hamba-hambaNya.Cuma kita sahaja tidak menyedari kehadiranNya.Saat itu,tiba-tiba senyuman tadi kembali muram.Dia tunduk kaku pada dinding kaca itu.Lalu,setitis demi setitis air matanya jatuh mencecah lantai yang kilat itu.Dia sedih dan terharu pabila mengenangkan kasih sayangNya pada dirinya selama ini.Biarpun dahulu dia langsung tidak pernah mengingatiNya walau sesaat sekalipun.Tetapi Dia tidak pernah melupakan dirinya yang hina ini.Malah,diberinya peluang untuk terus hidup.Diberinya petunjuk untuk kembali ke jalan semula.’Didikan-didikan’ itulah membuatkan dia berasa sangat sedih akan dirinya yang dahulu.
                       “Terima kasih,ALLAH….”
“Kadang kala Tuhan memanggil kita,
Agar kita memanggilNya,
Agar kita meninggalkan selimut kelekaan,
Munuju ke medan perjuangan untuk membawa kemenangan”
-Hilal Asyraf-
(Petikan dari Simfoni Cinta)
                             

"Thank you ALLAH"



No comments:

Post a Comment