Powered By Blogger

Tuesday 8 April 2014

Sakit itu Suatu Anugerah

Bismillahirrahmanirrahim,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

                           

~ Demam~

Aku teringat semalam sewaktu hendak melelapkan mata tiba-tiba aku bermonolog sendirian, "Haih,dah lama tak sakit..."

Dan hari ini Allah menambil nikmat sihat itu daripada aku.Tengah hari tadi kepala dah mula memberat.Terhuyung-hayang aku dibuatnya.Ditambah lagi dengan kehangatan bahang matahari lebih memeningkan kepala.Seharian waktu aku dihabiskan dengan hanya terlantar sahaja di atas katil.Bila tiba waktu malam suhu badan semakin meningkat.Dan berakhirlah nikmat sihat ku....

Namun,aku gembira aku sakit.Kenapa? Kerana aku yakin bahawa Allah masih ingat pada hambaNya ini.Dia berikan aku sakit ini kerana sudah lebih empat bulan aku tidak sakit.Dia takut aku leka.Kerana itulah Dia berikan aku sakit ini.Dia juga ingin ingin hapuskan dosa-dosa ku yang dahulu.Kerana itulah aku gembira pabila aku sakit.Bercakap mengenai sakit mengingatkan aku pada saat-saat getir semasa aku sedang meniti hari-hari peperiksaan percubaan MARA tahun lepas.

Semuanya bermula pada minggu terakhir peperiksaan percubaan MARA.Minggu itu aku akan menduduki peperiksaan subjek Kimia dan Pendidikan Jasmani.Aku  mula berasa tidak sedap badan sewaktu mengambil kertas Kimia,sehari sebelum tamatnya peperiksaan.Tetapi,Alhamdulillah tubuhku dan otak ku masih kuat untuk aku menjawab kertas pada hari itu.Keesokkan harinya,bangun sahaja daripada tidur aku tidak lagi mampu berjalan.Badan ku panas mendidih.Lebih teruk lagi kelihatan bintik-bintik ruam merah mula bersepah pada tubuh badan ku.Aku mula risau.Pagi itu aku hanya membersihkan diri seadanya kerana aku tidak lagi mampu menahan kesejukan.Jam menunjukkan pukul 10 pagi.Kertas PJ akan bermula jam 11:30 pagi.Bermula saat itu aku sudah cukup pasti apa yang sedang aku alami sekarang.Aku bukan sekadar demam,malah turut dijangkiti penyakit CHICKENPOP.Pagi itu aku terpaksa dikuarantinkan di satu bilik khas untuk mengambil kertas PJ.Otak tidak lagi berupaya berfungsi dengan baik seperti kebiasaan.Saat itu,aku pasrah dan serahkan segalanya kepadaNya.Maklumlah orang lain berkesempatan untuk mengulang kaji semalam.Sedang aku hanya terbaring layu di atas katil.Walaupun ianya hanya subjek picisan,namun cukup memberi kesan pada pointer kami.Selesai menjawab,lekas aku menghubungi ayah untuk membawa ku pulang.Dek kerana malu dilihat orang aku mengunci diri ku di dalam bilik sakit sementara menantikan ketibaan ayah.Dalam aku sendirian,ada juga insan yang sudi melawat aku.Terima kasih,sahabat!

Dua minggu aku hanya mampu terlantar di atas katil bilik.Tanpa berupaya melihat cahaya En. Matahari mahupun Si Purnama.Apatah lagi menjejakkan kaki di luar rumah untuk menghirup udara.Dua minggu itu sudah cukup merisaukan aku kerana banyak kelas yang aku ketinggalan.Tambahan lagi,aku pulang tanpa membawa sebarang buku untuk diulang kaji.Jadi,tempoh dua minggu itu otak ku rehat sepenuhnya tanpa sebarang ilmu untuk diserap.Alhamdulillah,tempoh dua minggu itu tamat akhirnya dan aku boleh pulang ke maktab untuk memulakan sesi persekolahan seperti biasa.Inilah kali pertama aku teruja sekali untuk pulang ke maktab.Sungguh 14 hari itu adalah ujian buat aku.Dalam menghitung hari SPM yang bakal tiba kurang dari sebulan lagi,aku diduga sekali lagi dengan sakit semput yang amat teruk.Baru sahaja seminggu aku sihat Allah menarik semula nikmat itu.Dan seperti biasa aku pulang ke rumah untuk mendapatkan rawatan.Pada mulanya aku dibawa ke Hospital Pontian untuk menyedut mesin yang aku pun tidak tahu apakah namanya.Selama hampir satu jam aku menyedut mesin itu.Namun,masih lagi tidak berkesan.Malah aku terasa ianya semakin teruk.Seluruh tubuh menggigil secara tiba-tiba.Semalaman aku tidak melelapkan mata dek kerana sesak nafas dan batuk yang sangat kritikal.tiga hari berlalu begitu sahaja.Akhirnya ayah mengambil keputusan membawa aku ke Hospital Pakar Muar untuk mendapatkan rawatan yang lebih serius.Sekali lagi aku diberikan sedutan 'Shi-sha' itu.Syukur rawatan yang diberikan membuatkan aku sedikit lega.Tetapi balik sahaja dari hospital itu,aku tidak lagi mampu bersuara.Sepatah perkataan pun langsung tidak mampu ku lafazkan.Saat itu aku cukup-cukup risau teramat sangat.Bukan risau kerana masih belum sihat,tetapi dek kerana SPM yang hanya tinggal dua minggu sahaja lagi.
                               
                     "Dua minggu! Dua minggu untuk aku mengulang kaji semula segala yang aku tinggal? sempat ke? " Soalan itulah yang sentiasa berawangan di minda ku setiap hari.

Kini,sudah seminggu aku di rumah.Dan sakit ku masih belum reda.Aku masih semput.Aku masih batuk.Aku masih tidak boleh bersuara.Satu hari mak bertanya pada ku,

                        "Macam mana? nak balik juga ke?" Lantas aku menganggukkan kepala tanda mengiakan soalan mak itu bagi menggantikan lunak suara ku.Mak dan ayah tidak lagi mampu berbuat apa-apa.Segala kudrat mereka telah pun digunakan,namun langsung tidak menunjukkan hasil yang positif kepada kesihatan ku.Hanya mampu berdoa kepadaNya sahaja.Akhirnya,hari itu aku pulang juga ke maktab dengan keadaan diri yang serba lemah tidak berupaya.Tidak dapat aku membayangkan bagaimanakah akan aku hadapi dua minggu yang berbaki ini.Berat mata memandang berat lagi kudrat yang sedang berdiri ini.Demi masa depan dan demi mak ayah aku terus kuatkan diri ku untuk tetap menghadirkan diri ke kelas.Aku sudah tidak lagi pergi ke prep malam.Setiap malam jasad ku pasti akan kelihatan terbaring di bahagian luar surau.Kadang-kala menitis air mata ku dek kerana hati aku tidak mampu menahan beban itu.Doa memohon agar Dia mengurniakan aku kesihatan yang baik tidak pernah lekang dari mulut ku....

Kini,SPM hanya berbaki tujuh hari sahaja lagi.Dan syukur kepadaNya kerana akhirnya doa ku dikabulkan.Semput,batuk ku telah pun baik.Telah tiba masanya untuk aku mempersiapkan diri ini dengan segala kelengkapan senjata yang bakal ku bawa minggu hadapan di medan SPM.Dalam kesibukan itu tiba-tiba aku tersentak,

                            "Ya Allah,terima kasih kerana meminjamkan aku nikmat sihatMu ini.Alhamdulillah..."

Sakit itu suatu anugerah dari Allah.Sesungguhnya aku telah sedar apa yang Dia telah lakukan pada ku sewaktu meniti hari-hari SPM itu.Rupa-rupanya Dia mengirimkan aku kesakitan itu adalah untuk memberikan aku rehat yang secukup-cukupnya.Dia mahu mental dan fizikal ku bersedia sebaik-baiknya sewaktu menghadapi peperiksaan.Nyata,ianya memang memberikan kesan dalam diriku.Setelah berehat selama tiga minggu,kini aku cukup kuat untuk menghadapi hari yang dinanti-nantikan itu.Itulah anugerah yang aku miliki dariNya.Alhamdulillah,setelah hari keputusan SPM tiba pada tanggal 20 Mac,aku mendapat keputusan yang diharapkan.Sungguh aku terkejut saat melihat keratan slip itu.Pada slip itu cukup membuktikan bahawa sakit yang aku hadapi selama ini langsung tidak memberikan kesan pada keputusan itu.Aku bukan mahu berbangga atau takbur akan apa yang aku peroleh.Tetapi aku ingin nyatakan di sini bahawa kejayaan seseorang itu bukan terletak dalam tangan seseorang sahaja.Ya,memang kita harus berusaha untuk mengecapi kejayaan.Namun,disebalik segala usaha yang kita lakukan itu ada satu kuasa yang mengawal segalanya,Allah!.....



No comments:

Post a Comment